PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, hari ini ‘menggesa’ para isteri di luar sana supaya tidak membandingkan suami dengan lelaki lain yang dilihat hebat di dunia media sosial.
Jelas Ustazah Asma’, tindakan itu boleh menjadikan diri sebagai isteri yang tidak bersyukur dan sentiasa mencari kekurangan suami sendiri bahkan boleh membuatkan suami terasa hati.
“Jangan kerana beberapa lelaki di media sosial yang dilihat hebat, kaya, romantik, penyayang, rajin dan dilihat sempurna itu menjadikan kita isteri yang tidak bersyukur dan makin banyak dihitung kekurangan terhadap suami.
“Sayangi dan hargai suami sendiri,” tulis Ustazah Asma’ di Facebook.
Baru-baru ini, tularnya di media sosial kisah personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Hafiz Mahamad, yang membuat kejutan romantis sempena ulang tahun isterinya iaitu Syafiqah Aina.
Hafiz yang terkenal dengan sifat romantik dan sentiasa membuat kejutan untuk isterinya itu bertindak menyewa sebuah pawagam khas untuk sambutan tersebut.
Tindakannya itu menjadi topik hangat dan ‘diulas’ oleh kebanyakan pengguna media sosial terutamanya dia Tiktok.
Malah, perkara itu turut membuatkan ramai wanita mula membanding-bandingkan suami sendiri dengan kriteria idaman yang dimiliki Hafiz sebagai teman hidup. Kata mereka, alangkah indahnya jika mendapat suami seperti Hafiz Mahamad. Dalam tidak sedar, ramai suami yang terasa hati akan komen yang diberikan oleh para isteri.
Sumber: Kosmo
