Di negara jiran, seorang bekas Ketua Kampung, Kampung Lontar, mukim Tirtayasa, daerah Serangan, di Banten, ditahan, kerana disyaki telah terbabit dengan kes penyelewengan berkaitan dana kampung ketika berkhidmat pada tahun 2015-2021.
Suspek yang bernama Alkani dipercayai menggunakan wang hasil penyelewengan sebanyak 988 juta rupiah (kira-kira sebanyak RM303,850) untuk kos mengahwini empat isterinya, selain tujuan berfoya-foya di pusat hiburan.
“Pengakuan itu ya (untuk berkahwin), dan dia (Alkani) suka pergi ke tempat hiburan dengan katanya perbelanjaan daripada wang tabung kampung,” kata Erlan Setiawan selaku peguam kepada Alkani kepada pihak media.
Beliau berkata, anak guamnya itu mengaku bersalah seleweng peruntukan dana kampung pada tahun 2020 yang sepatutnya untuk pembangunan infrastruktur kampung.
Erlan Setiawan mengakui bimbang kerana dana kampung itu sepatutnya digunakan untuk kepentingan masyarakat, bukannya untuk kepentingan peribadinya.
“Ini satu perkara yang amat menyedihkan yang perlu kita fahami. Bahawa kampung mempunyai bajet untuk kemajuan kampung. Ternyata disalahgunakan oleh ketua kampung,” katanya.
Alkani ditahan di pusat tahanan Kelas IIB Serang selama 20 hari, dan pendakwa raya kini sedang menyiapkan fail dakwaan selepas menerima suspek dan bukti daripada penyiasat polis Banten.
Pihak pendakwaan akan segera memindahkan Alkani ke Mahkamah Daerah Serang bagi perbicaraan atas tindakannya.
Ade Papa Rihi selaku Ketua Sub-Direktorat III Tipikor Ditreskrimsus Polda Banten Pesuruhjaya Polis (Kompol) berkata, kes itu bermula dengan Kampung Lontar mendapat bajet pada tahun 2020 untuk pembangunan infrastruktur.
Namun, dalam pelaksanaannya, terdapat lima projek fizikal yang merugikan kewangan negara.
Lima projek itu merupakan tiga projek fizikal yang tidak mengikut rancangan bajet dan dua lagi projek palsu iaitu rekaan suspek.
Sumber: HMetro
