Ini kisah dari kawan aku yang bernama Diana. Diana ni baik orangnya, cantik pulak tu. Tempoh hari, dia menceritakan pada aku pengalaman yang pernah dia lalui. Hampir setiap malam dia akan dengar ketukan di dinding rumahnya. Kadang-kadang ada dengar bunyi ketukan di pintu. Diana dengan naifnya membuka pintu rumah, tapi apabila dibuka, tiada siapapun yang ada di luar.
Diana juga perasan, setiap kali buka pintu mesti ada angin yang akan masuk ke dalam rumahnya. Angin itu ‘melalui’ badan Diana lalu hilang di dalam rumah.
Diana sebenarnya seorang janda dan mempunyai seorang anak lelaki. Setiap hari mesti Diana akan hantar ke rumah mak dia dan bila balik dari kerja Diana akan jemput anaknya semula. Oleh kerana sibuk degan kerja, kadang-kala ibu Diana akan bawa Adi, anak Diana, berjalan-jalan.
Semasa tiada orang di rumah, masa itulah Diana akan mendengar ketukan.
Pada suatu malam, kawan Diana datang membawa barang yang Diana beli dari dia. Diana menjemputnya masuk kemudian mereka mula berbual.
Tak lama kemudian, kawannya itu mahu ke tandas. Diana tunjuk akan arah tandas. Sementara menunggu, Diana sedang menyiapkan air oren untuk dihidang kepada kawannya.
Tiba-tiba Diana dengar satu jeritan kuat dalam rumahnya. Rupa-rupanyanya kawan Dianalah yang menjerit “Oi”. Diana berlari ke arahnya. Diana terus mengetuk pintu tandas lalu kawannya buka pintu dan marah, “Kau tutup lampu kan? Kau tutup lampu kan?”
“Aku sedang buat air, tak ada kerja nak main buka tutup lampu.” Diana jawab. Kawan Diana masuk semula ke dalam tandas. Diana pula sambung menyiapkan air.
Tiba-tiba kawan Diana menjerit lagi. Kali ini bunyinya seperti ketakutan. Diana mengetuk pintu bilik air tetapi tidak ada sebarang respon. “Suzy. Buka pintu oi”.
Selepas ketuk tanpa henti, Suzy membuka pintu tandas. Mukanya mula pitam. Dia pengsan di depan tandas. Di dalam tandas ada susuk tubuh, rambut panjang sampai ke lantai dengan mata merah terbeliak sedang memerhati Diana.
Diana mengheret kawannya sambil berkata, “Bangun Suzy bangun.”
Tiba-tiba lampu terpadam. Diana hilang arah dan tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Suzy tersedar. “Apa terjadi?”
Diana pula jawab, “Jom keluar rumah.”
Baru sahaja ingin melangkah keluar, lampu hidup semula. Di depan pintu, mereka sekali lagi melihat lembaga itu. Dia mengangkat tangan dan menunding ke Diana.
Selangkah demi selangkah lembaga itu menghampiri mereka. Diana dan Suzy saling berpelukan kerana ketakutan.
Tiba-tiba ada ketukan di pintu. “Mami. Mami.” panggil Adi.
Adi pulang bersama ibu Diana. Lembaga itu tiba-tiba hilang. Diana membuka pintu lalu ibu Diasa lantas bertanya, “Apasal muka kau pucat?”
Suzy ingin beritahu hal sebenar tetapi dihalang oleh Diana. “Nanti Di bagitahu ibu”.
Ibu pun bergerak pulang. Suzy menawarkan diri untuk tidur di rumahnya tapi Diana enggan. Suzy juga turut pulang ke rumahnya.
Diana memandang ke arah Adi. Dia tahu siapa yang menghantar lembaga itu. Semestinya angkara bekas suaminya kerana kalau diikutkan dia mahu hak penjagaan anak jatuh kepada dia. Mungkin dia fikir dengan menghantar makhluk sebegitu, Diana akan rapuh untuk ikut kehendak bekas suaminya tetapi Diana bertindak sebaliknya. Diana nekad tidak akan memberi hak penjagaan Adi kepada bekas suaminya.
Malam itu Diana buat seperti tiada apa-apa berlaku. Dia tidurkan Adi di biliknya seperti biasa namun mendengar ketukan di pintu. Kali ini Diana mengendahkan bunyi ketukan itu.
Dia akhirnya menelefon bekas suami dan berkata, “Ini rumah aku. Adi anak aku. Kau jangan ingat boleh takut-takutkan aku dengan benda-benda khurafat”.
Diana lantas menutup panggilan telefon itu dengan segera. Diharapkan tiada apa-apa yang teruk berlaku pada Diana selepas ini. Bukan senang hidup sebagai seorang ibu tunggal yang punya anak dan terpaksa berebut hak penjagaan bersama bekas suami yang terlalu ikutkan perasaan kerana berkemungkinan mereka akan bertindak di luar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.
Itulah yang diceritakan oleh Diana kepada aku.
Sumber: meremang.my
