Taktik ‘scammer’ kini menjadi semakin licik dengan menyebarkan Malware yang diletakkan di dalam aplikasi (.apk) dinamakan sebagai Jemputan Majlis Perkahwinan.
Menerusi ciapan @DragonForceIO, scammer tersebut menyasarkan golongan warga tua dan yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan asas informasi teknologi.
“Baru-baru ni muncul satu modus operandi scammer baru yang telah merebak dalam komuniti rakyat negara kita.
“Seperti yang kami siasat, modus operandi ini menggunakan teknik menyebarkan Malware yang diletakkan di dalam aplikasi (.apk) yang dinamakan sebagai Jemputan Majlis Perkahwinan.
“Scammer tersebut akan menyamar sebagai orang yang dikenali mangsa dan meminta mangsa untuk memuat turun aplikasi tersebut,” ciapnya.
Tambahnya lagi, kesan daripada memuat turun dan memasang aplikasi tersebut, scammer tersebut akan dapat mengakses penuh telefon pintar mangsa tanpa disedari dan diketahui.
“Saya menggesa agar semua dapat menyebarkan isu ini supaya orang ramai di luar sana tidak tertipu dengan taktik penipuan ini,” ujarnya.
Sehingga kini ciapan itu telah mendapat banyak ulang ciap dan tanda suka. Ini bermakna sudah ramai yang sedia maklum akan taktik scammer yang bimbang akan memperdaya lebih ramai orang lagi.
Di ruangan komen pula mendapati orang ramai terkejut dengan modus operansi terbaru scammer itu dan turut risau ibu bapa mereka terpedaya dengan taktik itu. Hal ini kerana kebanyakkan orang tua tdak peka akan hal sebegini dan ramai lagi yang mudah tertipu dengan perkara yang melibatkan telefon pintar oleh sebab mereka tidak pakar dalam menggunakannya.
“Taktik yang licik dan bijak oleh scammer untuk target warga emas,” komen Fitri.
“Aduh, serius lah. Sampai ke kad kahwin digital. Ini bukan kata orang-orang tua, kalau aku pun tengah kalut mesti tertekan punya,” komen Uciha.
“Memang sah scammer ni target mak ayah kita yang tidak berapa celik informasi teknologi tetapi duit simpanan banyak,” komen seorang pengguna.
Oleh itu, orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada bukan sahaja dengan taktik sebegini kerana mereka ada lebih dari 1001 cara untuk menipu demi mendapatkan keuntungan untuk diri mereka sendiri.
Sumber: Kosmo
