LAHAD DATU : Mayat seorang lelaki warga asing dipercayai telah dibaham buaya ketika menangkap ketam ditemui di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian.
Mangsa yang berusia 23 tahun itu ditemui pada pukul 7.20 pagi dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kampung Tanjung Batu.
Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad selaku Ketua Polis Daerah Lahad Datu berkata, mangsa adalah pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada awal pagi ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang menangkap ketam di kawasan laut itu.
“Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Mangsa kemudiannya dikatakan hilang dari kawasan berkenaan sebelum ditemui pagi tadi.
‘Ketika mayat mangsa ditemui terdapat kesan gigitan iaitu di bahagian lengan kiri dan kepala serta kesan calar di bahagian dada, belakang leher,” katanya dalam kenyataan.
Dr Rohan Shah juga ada berkata, anggota polis dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.
Sumber: Kosmo Online
