JAKARTA – Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang wanita kerana telah melanggar undang-undang berkaitan agama di negara itu selepas dia menyiarkan video di laman sosial TikTok di mana dia berdoa sebelum memakan daging babi.
Lina Lutfiawati yang juga dikenali sebagai Lina Mukherjee mengaku bahawa dia beragama Islam mengikut dokumen mahkamah, menyiarkan video TikTok pada Mac di mana dia membaca Bismillah, sebelum makan kulit babi yang rangup.
Mahkamah di bandar Palembang, Indonesia, menjatuhkan hukuman terhadap Lina atas tindakannya dan mendapati dia sengaja “menyebarkan maklumat yang bertujuan untuk menghasut kebencian atau permusuhan individu/kumpulan berdasarkan agama,” menurut dokumen mahkamah.
Dia telah diperintahkan untuk membayar denda sebanyak 250 juta rupiah.
Pengkritik berkata undang-undang ketat Indonesia telah digunakan untuk menghakis reputasi lama untuk toleransi dan kepelbagaian di negara itu.
Selepas perbicaraan berlangsung, Lina memberitahu pemberita bahawa dia terkejut dengan keputusan itu.
“Saya tahu saya salah tetapi saya tidak menjangkakan hukuman ini,” kata Lina di stesen berita tempatan.
Usman Hamid selaku pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia berkata bahawa artikel penghinaan agama dalam undang-undang Indonesia telah disalahgunakan untuk menyasarkan kumpulan minoriti dan penentang.
“Ia melanggar kewajipan antarabangsa Indonesia berhubung penghormatan dan perlindungan untuk kebebasan berfikir, hati nurani dan agama atau kepercayaan, kebebasan berpendapat dan bersuara,” kata beliau.
Undang-undang penghinaan agama itu kebanyakannya digunakan terhadap mereka yang dianggap menghina Islam, termasuk bekas gabenor Kristian Jakarta, Basuki “Ahok” Purnama, yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada 2017 kerana menghina agama, atas tuduhan yang dilihat secara meluas sebagai bermotifkan politik.
Majlis Ulama Indonesia (MUI), sebuah badan tertinggi ulama, memberitahu mahkamah bahawa tindakan Lina adalah menghina Islam, menurut dokumen mahkamah.
Sumber: Harian Metro
