ROME – Seorang wanita dianggap ‘berhati mulia’ apabila sanggup melepaskan semula lobster atau udang kara ke laut yang sebelum dijadikan makan malam bersama suaminya di sebuah restoran makanan laut Gente di Mare, Italy.
Tindakan wanita itu membuatkan pengunjung restoran tersebut terkejut selepas memesan makanan mewah berharga 175 pound (RM1,020) dan melepaskan kembali haiwan itu ke habitat asalnya.
Wanita yang tidak dikenali itu telah mengunjungi Gente di Mare terletak di Golfo Aranci, Sardinia bersama suaminya dan memesan seekor lobster untuk dijadikan menu makan malam mereka.
Pemilik restoran, Antonio Fasolino berkata, dia mengambil udang itu dan menimbangnya di dapur dan kemudian memberitahu pasangan itu bahawa ia seberat dua kilogram dan berharga 175 pound.
Kemudian, udang itu dibawa ke dalam baldi lutsinar dan diletakkan di sebelah pasangan itu.
Sebelum melakukan tindakan mengejutkan semua, pelanggan itu sempat bertanya kepada pemilik restoran adakah udang ini akan ‘cedera’ selepas dilepaskan dari tempat tinggi dari meja makan terletak berhampiran tembok restoran yang mengadap laut.
Selepas mendengar penjelasan lanjut daripada pemilik restoran, wanita itu segera melepaskan udang ke laut sambil perbuatannya dirakam oleh suaminya sendiri.
Pengunjung lain dan kakitangan restoran terkejut dengan kejadian tersebut kerana mereka menyangka bahawa dia hanya bergurau namun dia betul-betul berbuat sedemikian.
Sumber: Sinar Harian
