JOHOR BAHRU- Polis Johor telah menahan seorang lelaki warga asing kemudian merampas lima kotak berisi minyak masak paket yang diletakkan di dalam kereta di bandar raya ini pada 12.30 tengah hari.
Datuk Kamarul Zaman Mamat selaku Ketua Polis Johor berkata tindakan dilakukan ketika Op Taring Landai yang dijalankan oleh sepasukan polis daripada Unit Risik Marin Tampoi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahawa sebuah kereta yang dipandu warga asing itu membawa sejumlah kotak minyak masak bersubsidi tanpa memiliki dokumen dan permit yang sah.
Kata Datuk Kamarul Zaman Mamat, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun bagi membantu siasatan dan merampas lima kotak yang mengandungi 85 paket minyak masak keseluruhannya bernilai RM8,212.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Kamarul Zaman Mamat menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.
Sumber: Berita Harian
