LUMUT – Seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) rentung akibat rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Dato Seri Kamaruddin, Seri Manjung.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 4.05 petang itu, Mohd. Firdaus Ahmad, 15, maut dengan keseluruhan tubuhnya hangus terbakar.
Difahamkan juga, ketika kejadian, mangsa yang mengalami masalah pertuturan dan tidak boleh berjalan dengan baik, tinggal berseorangan di rumah yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampong Dato Seri Kamaruddin itu.
Sementara itu pula, ahli keluarganya yang lain iaitu ibu, kakak mangsa dan anak kakaknya yang masih bayi, tiada di rumah kerana pergi ke rumah jiran mereka.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Suhaimy Mohd. Suhail selaku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah papan setingkat yang terbakar 90 peratus,” kata beliau.
Menurutnya, sebaik sahaja kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.52 petang, pihaknya menemui mangsa dalam keadaan yang terlantar di atas katil.
Sementara itu, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah selaku Ketua Polis Daerah Manjung berkata, setakat ini polis mengklafikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah.
Menurut beliau, mangsa warga Indonesia adalah OKU yang mempunyai rekod rawatan sawan di Hospital Seri Manjung (HSM).
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
Sumber: Utusan Malaysia
