Seorang warga emas dan anaknya dipercayai telah menembak mati kucing jirannya dengan menggunakan selaras senapang angin buatan sendiri.
Kejadian berlaku di Bukit Rambai, Melaka itu berlaku kira-kira pada jam 2.30 petang menyebabkan suspek yang merupakan warga emas berusia 62 tahun dan anak lelakinya, 27 tahun telah oleh ditahan polis.
Asisten Komisioner Christopher Patit selaku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek bertindak menembak mati kucing berkenaan kerana marah apabila haiwan itu masuk ke rumahnya.
Kejadian kucing yang diberi nama Molly itu disedari oleh pemiliknya apabila Molly mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di bahagian belakang badannya sebelum dibawa ke klinik haiwan.
Doktor yang merawat kucing tersebut mengatakan haiwan itu tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan ditembak dan terdapat geguli besi di dalam badannya.
Pemilik kucing berkenaan membuat laporan polis dan tindakan lanjut dibuat oleh Cawangan (D9) Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang membawa kepada penahanan dua suspek.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau berkata bahawa hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah suspek turut menemui 17 butir peluru penabur dan selaras senapang angin serta beberapa alatan dipercayai sebagai alat ganti senjata itu di dalam sebuah bilik.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber: OhBulan, Utusan Malaysia
