Seorang pelajar yang berusia 16 tahun berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Singapura kerana merancang untuk membunuh para jemaah di dua buah masjid di negara tersebut.
Menerusi laporan daripada Free Malaysia Today, pelajar tersebut telah merancang serangan keganasan tersebut bersempena ulang tahun serangan keganasan ke atas masjid di Christchurch.

Gambar sekadar hiasan
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura, pelajar yang berusia 16 tahun itu ialah individu paling muda ditahan di bawah undang-undang tersebut dan dia juga merupakan tahanan pertama yang didorong ideologi ekstremis kanan.
Dia meradikalkan dirinya, dimotivasi antipati kuat terhadap Islam dan tertarik kepada keganasan. Dia menonton video siaran langsung serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand serta membaca manifesto penyerang, Brenton Tarrant.
Apa yang lebih mengejutkan pihak berkuasa lagi, pelajar tersebut turut melukis peta dan merancang laluannya sebelum melakukan serangan tersebut. Tambah jabatan tersebut juga, pelajar itu memilih dua buah masjid yang berdekatan rumahnya di utara Singapura sebagai sasaran serangan.
Di samping itu pula, remaja terbabit turut membeli jaket kalis peluru dan merancang membeli parang dalam talian dengan niat untuk menyiarkan serangan yang dilakukan secara langsung.
Pada mulanya, pelajar itu mahu mendapatkan senjata dan meneroka kaedah membuat bom, serta meniru rancangan Tarrant membakar masjid dengan petrol.
Namun begitu, idea pelajar tersebut terpaksa dilupakan. Hal ini kerana, Singapura mempunyai undang-undang yang ketat mengenai kawalan senjata api. Tambahan pula, dia turut mempunyai masalah keselamatan dan juga logistik.
Sumber: OhBulan, Free Malaysia Today
