IPOH : Pihak polis sedang giat mengesan lima orang lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di atas jalan dalam kejadian di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun.
Sebuah video yang berdurasi 16 saat itu sudah tular di media sosial dengan memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di atas jalan dengan menggunakan senjata dipercayai rotan.
Asisten Komisioner Yahaya Hassan selaku Ketua Polis Daerah Ipoh berkata, pihaknya mengesan video tular itu sejak semalam melalui aplikasi WhatsApp.
Lihat video penuh:
Kata beliau juga, siasatan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang, kelmarin di mana melibatkan lima orang lelaki warga tempatan.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu sekali gus mengenal pasti punca pergaduhan mereka.
“Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata,” kata Asisten Komisioner Yahaya Hassan dalam satu kenyataan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.
Sumber: Kosmo
