Seorang buruh meninggal dunia selepas terkena libasan besi pencangkuk mesin pemotong padi yang tersangkut di kawasan sawah Kampung Sungai Padang, Simpang Empat.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira pada jam 4.33 petang. Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Sharif Hamdan, 36 tahun, sedang membetulkan rantai besi yang digunakan untuk menarik mesin pemotong padi yang dikendali oleh rakannya di kawasan bendang itu.
Menurut Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop selaku Ketua polis Daerah Kangar, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati sebuah mesin pemotong padi telah tersangkut ketika memotong padi di kawasan tersebut.
Semasa proses menarik keluar mesin padi tersebut dengan bantuan sebuah mesin padi yang lain, salah satu pencangkuk yg diikat pada mesin padi telah patah dan rantai besi yang terputus telah melibas bahagian leher sebelah kiri dan pipi mangsa yang berdiri di antara dua mesin padi tersebut.
Mayat lelaki tersebut kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Sumber: OhBulan
