Seorang gadis dari negeri Bihar, India sanggup bertindak memutuskan bekalan kuasa elektrik di seluruh kampungnya secara berkali-kali supaya dia dapat bertemu dengan teman lelakinya tanpa dilihat oleh sesiapa, lapor laman berita Oddity Central.
Penduduk Bettiah, iaitu sebuah perkampungan di daerah Champaran Barat berasa resah dan cemas selama lebih seminggu kerana gangguan bekalan elektrik luar biasa yang berlaku hampir setiap malam baru-baru ini.
Mereka merayu kepada syarikat elektrik untuk membetulkan rangkaian kuasa, namun wakil daripada firma berkenaan melaporkan tiada sebarang masalah terhadap infrastruktur di situ.
Tiada sesiapa yang dapat memahami masalah sebenar keadaan itu sehinggalah pada suatu malam, apabila sejumlah penduduk berkawal di kampung tersebut. Mereka menangkap satu pasangan muda yang sedang berdua-duaan dalam kegelapan.
Gadis itu bernama Priti Kumari dan kekasihnya, Rajkumar, dikatakan bertindak sedemikian demi merahsiakan hubungan cinta mereka.
Sebuah video tular di media sosial India menunjukkan Priti cuba mempertahankan Rajkumar ketika penduduk kampung mengancam untuk memukulnya.
Sebilangan daripada mereka turut bertindak membelasah Rajkumar dengan menggunakan kayu tetapi menurut media tempatan, dia berjaya melarikan diri.
Akhirnya, untuk mengelakkan keganasan dan gangguan terhadap bekalan elektrik, penduduk kampung memutuskan untuk mengahwinkan pasangan tersebut. Hal ini kerana mereka tidak mahu perkara yang sama berulang lagi dan akan memberikan impak buruk kepada penduduk di situ.
Sumber: Kosmo
