Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu di mana sebelum pandemik Covid 19 menghantui. Ketika itu, saya bersama isteri bercuti ke Thailand. Kami telah mendaftar masuk ke sebuah bilik hotel berpanorama indah menghadap Menam Chaophraya kira-kira pada jam 5.00 petang waktu tempatan.
Hotel itu memang sangat cantik, pemandangan pula terlalu indah. Kami ditempatkan di bilik kedua di tingkat keempat. Jika bilik pertama ialah 401, maka bilik kami adalah 402. Setelah menempatkan bagasi, kami turun mencari makanan kerana perut sudah berbunyi menandakan kami lapar.
Kami naik semula ke bilik sekitar pukul 7.00 malam. Membuka pintu cermin, melangkah ke beranda sambil melepaskan pandangan ke sungai yang luas di depan kami.
Dari beranda yang menempatkan sebuah meja serta tiga buah kerusi besi, dengan dua pokok bunga kertas di kiri dan kanan yang rantingnya sedikit berjuntai, kami melepaskan pandangan sambil menghirup udara nyaman.
Isteri kemudian menyalakan lampu bilik. Ketika itulah kami terdengar ngiauan kucing dari arah beranda bilik sebelah, mula-mula mendayu kemudian semakin jelas.
“Siapa bela kucing kat sini? Tingkat empat ni, di lobi hotel pun tak ada nampak kucing,” saya bersuara.
Isteri pula melirik beranda bilik sebelah yang dibatasi dinding setinggi kira-kira lapan kaki. Beranda itu pun sama juga. Ada pohon serupa, iaitu bunga kertas dengan ranting-ranting halus berjuntai.
“Ah, biarlah. Kucing orang tu,” balas isteri.
Kami terus bersantai. Mata dilepaskan ke tengah sungai yang sangat lebar. Kapal persiaran yang membawa pelancong hilir dan mudik. Lampu-lampunya pula kelihatan semakin terang oleh persekitaran yang semakin menggelap.
Ngiauan kucing di beranda sebelah semakin jelas kedengaran. Terasa dekat. Beberapa kali saya menoleh.
“Ala, kucing kalau dah lapar, memang begitu,” tingkah isteri.
“Tapi, lain macam je bunyi ngiau tu,” saya mula menunjukkan keraguan pada bunyi itu.
“Kalau dilihat keadaan lampu, macam bilik sebelah penyewa belum balik lagi. Awak tinggi sikit, cubalah jenguk,” saran isteri lagi.
Bulu roma saya meremang! Jenguk?
Saya bangun perlahan-lahan. Ngiau kucing masih berselang-seli dengan enjin kapal persiaran yang hilir mudik. Saya tarik salah satu kerusi. Saya panjat ke atas kerusi dan memanjangkan leher menjenguk.
Tiada kucing! Tiada apa-apa. Dalam cahaya remang-remang, saya hanya nampak sebuah meja, sama seperti di beranda kami, dan tiga kerusi yang tersusun rapi. Tiada tanda-tanda kedudukan meja atau kerusi bahawa ia sedang atau baharu diduduki. Tiada!
Yang membuatkan bulu roma saya lebih meremang ialah suara ngiau kucing itu langsung terdiam sebaik saya menjengah ke beranda sebelah. Terkejut nampak aku, ke apa? Begitu getus dalam hati saya.
“Nampak? Ada kucing ke?” isteri bertanya, tanpa mengetahui dalam benak saya kian bergelora. Jika sah ada kucingnya, tidak mengapa. Ini, tiada. Tiadanya kucing di sisi tembok itu, pada saya menandakan ada sesuatu!
Saya mula memikirkan banyak kemungkinan. Berbagai-bagai. Antaranya kucing tersesat apabila pembersih bilik datang membersihkan bilik dan tanpa disedari ada kucing menyusup. Mungkin juga kucing milik pembersih bilik yang terlupa diajaknya keluar tatkala dia mengunci pintu, atau barangkali ada kucing tersalah lompat lalu terperangkap di dalam bilik hotel tersebut.
Tak tahu mahu berbuat apa, saya cadangkan pada isteri untuk membuat panggilan kepada penyambut tetamu di lobi. Apabila panggilan dijawab, saya menceritakan tentang bunyi ngiau kucing itu sejak lebih sejam yang lepas tak berhenti-henti.
Dengan suara tenang, penyambut tetamu menerangkan ada kemungkinan kucing tersangkut pada dahan, kemudian melompat masuk. Tidak mengapa, nanti tahulah dia memanjat keluar.
Saya meletak gagang telefon. Eiii…ini tingkat empat. Pokok apa? Kucing memanjat setinggi tu? Kucing apa terlatih sebijak itu?
Saya ke beranda semula, memaklumkan kepada isteri bahawa penyambut tetamu meyakinkan itu kemungkinan kucing yang terperangkap, setelah memanjat pokok dan terlompat ke beranda bilik hotel.
Isteri beritahu, suara ngiau kucing itu masih kedengaran. Buat kali kedua, saya kembali menjenguk tepat ketika suara ngiau kucing itu kedengaran. Sah! Tiada kucing di sisi dinding di beranda bilik sebelah.
Saya beritahu isteri, kalau begini keadaannya, tidak selesa untuk duduk di bilik ini. Lebih malang lagi andai terbayang-bayang lembaga yang bukan-bukan sehingga tidak nyenyak tidur.
Saya mendail penyambut tetamu sekali lagi, kali ini lebih tegas, mengapa tempatkan kami berjiran dengan bilik yang berhantu? Kebetulan si penyambut tetamu adalah wanita yang sama seperti kali pertama saya mengadu tadi. Berkali-kali dia cuba meyakinkan kami bahawa itu kucing sebenar dan hotel ini tiada sebarang unsur gangguan dan kami boleh menginap di bilik itu dengan tenang.
Tetapi saya tetap berkeras menyatakan suara kucing itu mengganggu ketenangan kami. Lalu wanita itu mencadangkan akan menghantar petugas hotel untuk memeriksa bilik tersebut.
Saya menunggu di hadapan pintu bilik ketika petugas muncul dari lif dengan membawa seberkas kunci dan lampu suluh.
Petugas membuka pintu. Benar tekaan saya, bilik yang bersebelahan bilik saya ini tiada penyewa. Sebaik pintu terbuka, kelihatan cahaya yang sangat suram dengan sebiji lampu berwarna merah sedang terpasang. Hati saya berdebar. Untuk apa ada lampu seperti ini, dan terpasang pula?
Petugas menyalakan hampir semua lampu yang ada dalam bilik itu. Kelihatan jelas bilik ini lebih luas daripada bilik yang saya sewa. Dengan sedikit ruang tambahan. Di ruangan itu, ada sebuah lagi katil kecil, cukup untuk seorang bersantai atau tidur juga.
Saya juga ke beranda. Memang sah, tiada kucing pun di situ. Angin menderu berkali-kali. Di sisi katil ada sebuah almari yang kelihatannya sudah antik. Banyak barangan perhiasan di dalamnya.
Rak teratas almari bercermin itu menempatkan sederetan patung kucing. Sekilas saya memerhatikan kalau tidak silap antara lima atau enam ekor patung kucing yang hampir sama saiz semuanya, berposisi duduk.
Suara ngiau kucing sudah sepi sekarang. Petugas ikut menyuluh ke sana ke mari, dan mengesahkan tiada kucing di bilik itu. Katanya mungkin suara itu di bahagian bawah hotel yang dibawa angin sehingga ke tingkat empat ini, dan kerana gema ia kedengaran sangat jelas.
Saya tidak jadi bertanya, apakah ada aduan penyewa lain sebelum saya kerana saya tidak mempercayai alasan yang diberikannya. Kecurigaan saya lebih jauh perginya daripada alasan yang diberi.
Apakah yang pernah berlaku di bilik ini? Siapa yang bertanggungjawab? Patung kucing itu untuk apa? Fikiran saya menerawang. Katil kecil di sisi almari antik itu pula untuk apa? Mungkinkah pernah ada pembunuhan yang terjadi?
Saya banyak mendengar tentang penganiayaan dan penyeksaan, mustahil kah kalau saya katakan kejadian itu pernah dilakukan di bilik sebelah ini? Almari antik itu pelik, begitu juga katil kecil di sisinya. Senang cakap, bilik itu memang aneh! Dan mengapa patung kucing diletakkan dalam bilik tersebut? Mengapa pula kami asyik kedengaran suara ngiauan kucing dari bilik tersebut sedangkan tiada satu pun jasad kucing ditemui di situ?
Cerita asal oleh : Lim Swee Kim
Sumber: UtusanTV
