LONDON : Seorang suami telah menggelar isterinya seorang yang pemalas ‘pemalas’ selepas wanita itu mengambil cuti khas selama dua tahun untuk menjaga bayi mereka yang baru dilahirkan.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu telah menulis luahan hatinya pada kolum Agony Aunt di dalam akhbar Daily Mail.
Dia meminta nasihat daripada orang yang lebih pakar oleh kerana isterinya yang dikatakan bertukar menjadi pemalas selepas melahirkan anak lelaki mereka.
“Dia sebelum ini memberitahu akan kembali bekerja selepas enam bulan bersalin. Namun, ia bertukar menjadi setahun dan kini, sudah dua tahun dia tidak bekerja,” kata lelaki itu.
Tambahnya lagi, dia memahami bahawa tempoh awal kelahiran bayi amat penting untuk si ibu mewujudkan ikatan mesra dengan anak.
Namun begitu, isterinya kini sering tidak membuat sebarang pekerjaan di rumah selain menonton televisyen sepanjang hari sambil bermalas-malasan.
“Katanya, kos membesarkan anak-anak amat mahal dan melebihi gajinya. Oleh itu, kos perbelanjaan mungkin berbaloi jika dia melakukan sesuatu pekerjaan di rumah,” ujar lelaki tersebut.
Luahan hati pembaca berkenaan mendapat maklum balas daripada penulis buku terkenal iaitu Jane Green. Beliau berkata, si isteri mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin dan itu adalah normal.
“Isteri anda nampaknya mengalami sesuatu melebihi ‘sikap malas’ (kemurungan selepas bersalin). Saya mencadangkan agar anda membawa dia berjumpa kaunselor atau mengambil ubat bagi menangani gejala tersebut,” kata Green.
Sumber: Kosmo
