Risau badan anda gemuk, banyak lemak? Sabar, cuba baca beberapa kisah di bawah ini dahulu.
Danny Ross, seorang lelaki dengan berat lebih daripada 100 kilogram. Pada Oktober 2012, bekas penganalisis komputer ini sedang asyik menonton televisyen di pangsapurinya di London. Tiba-tiba seorang lelaki menceroboh masuk ke rumahnya. Danny diserang, leher dijerut dengan tali pinggang hingga tidak sedarkan diri. Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut menikam tubuh Danny bertubi-tubi. Keadaan Danny amat parah dengan kesan 38 tikaman. Namun begitu, Danny berjaya sembuh dengan 70 jahitan. Kata doktor, berat badannya yang berlebihan telah membantu menyelamatkan nyawanya.
Lain pula kisah wanita bernama Ulanda Williams. Sewaktu dia sedang berjalan di Manhattan pada Januari 2013, hujan turun dengan lebat. Ulanda Williams, seorang wanita dengan beratnya hampir 200 kilogram. Pada ketika itu, dia segera mencari tempat berteduh di pinggir jalan. Tiba-tiba tempat dia berpijak itu runtuh. Ulanda jatuh terperosok sedalam tujuh kaki. Petugas keselamatan terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan Ulanda oleh kerana saiz badannya yang sangat besar. Wanita ini hanya patah tulang lengan dan mengalami kecederaan ringan sahaja. Tubuhnya yang besar menjadi asbab dia terselamat dalam kejadian itu. Jika tubuhnya kurus, Ulanda mungkin akan jatuh lebih jauh ke dalam, bahkan mungkin tertimbus dan maut.
Russell Kimble, lelaki berusia 39 tahun dari England dengan berat hampir 180 kilogram. Pada Ogos 2013, nyawanya hampir melayang apabila diserang parasit pemakan daging. Doktor terpaksa meletakkan Russell dalam keadaan koma selama tempoh 9 hari. Sepanjang tempoh itu, 20 pembedahan telah dijalankan bagi membuang berkilo-kilo daging yang telah dicemari bakteria pada tubuh Russell. Kebanyakannya daripada bahagian pangkal paha hingga ke perut, termasuk juga bahagian belakang. Mujurlah tubuh Russell kaya dengan lemak kerana itulah yang membantu memperlahankan parasit pembunuh itu daripada merebak masuk terlalu jauh ke dalam badannya. Disebabkan itu juga, nyawa Russell dapat diselamatkan.
Omar Alegria Campos, seorang pemandu bas di Santiago, Chile. Pada Januari 2012, seorang perompak bersenjatakan pistol masuk ke dalam bas dan cuba merompak penumpang. Alegria bertindak berani dengan memberhentikan bas lalu menyerang perompak itu. Perompak tersebut bertindak melepaskan dua das tembakan. Yang pertama meleset, terkena cermin bas. Manakala tembakan kedua mengenai tepat pada perut Alegria. Walaupun cedera ditembak, Alegria sempat melompat ke arah perompak itu untuk mengelakkannya daripada melarikan diri sehingga polis berjaya menangkapnya. Algeria dibawa ke hospital. Tembakan itu tidak mendatangkan kecederaan yang serius kepadanya. Tahu kenapa? Kerana lemak yang banyak berkumpul di perut Alegria telah menyelamatkan organ dalamannya daripada dicederakan oleh peluru tersebut.
Macam mana, rasa bertuah tak jadi gemuk? Tapi ingat, penyakit jantung, kolesterol, kencing manis dan sebagainya tetap mengejar tau. Kesihatan perlu diambil kira kerana ajal itu tak kira masa dan tak kira berat kita berapa.
Sumber: UtusanTV
