Dalam mitologi Mesir purba, konsep neraka dalam kalangan masyarakat Mesir dicatatkan dalam sebuah kitab berjudul ‘Kitab Neraka’. Kitab ini telah dilakar pada dinding kubur raja-raja di Lembah Raja-raja, Thebes, dan pada lembaran papirus serta objek-objek yang turut disemadikan bersama dengan si mati.
Kitab Neraka antara lain menyebutkan, orang-orang yang jahat ini apabila mati, mereka akan diseret ke hadapan syaitan Ammit. Syaitan ini kepalanya menyerupai buaya, kaki dan badan pula meyerupai singa serta badak air. Ia duduk di sisi alat penimbang, bersedia untuk menerkam mangsanya.
Menurut kitab itu lagi, neraka terletak jauh di dasar bumi. Seksaan yang dikenakan amat menakutkan. Antaranya, orang-orang jahat dan banyak melakukan dosa akan dicabut organ masing-masing dan dihukum berjalan menggunakan kepala, memakan najis serta meminum air kencing sendiri.
Dalam masa yang sama, mereka akan dibakar di dalam api dan kawah yang sangat panas serta berenang di dalam darah. Ketika berenang, Tuhan Shezmu iaitu tuhan arak, akan menekan dan menghenyak-henyak mereka sehingga lemas.
Masyarakat Mesir purba percaya, mayat orang-orang yang baik selepas diawet dan disemadikan dengan cara yang sempurna, roh mereka akan memulakan hidup baru dengan diiringi oleh Tuhan Re dan Osiris untuk hidup di syurga dengan penuh kenikmatan.
Manakala bagi orang-orang yang jahat pula, sebaik sahaja mereka mati, jasad dan daging mereka akan disiat-siat serta dicarik-carik oleh syaitan. Di dalam neraka, selain seksaan yang telah disebutkan tadi, si jahat ini akan diikat kedua-dua belah tangannya ke belakang dan daging mereka disiat-siat daripada tulang.
Jantung si jahat yang telah dicabut itu pula tidak akan dipulangkan kembali, malah bayang-bayang mereka juga tidak akan dipulangkan kerana dalam kepercayaan masyarakat Mesir purba, bayang-bayang dianggap penting dan sesuatu yang suci.
Seterusnya, Kitab Neraka memberi amaran, di neraka tiada udara untuk bernafas. Tiada air untuk menghilangkan dahaga. Tiada pancaran cahaya dari Tuhan Matahari, tinggallah mereka murung dalam gelap-gelita. Selain diseksa, syaitan juga mengajar penghuni neraka supaya saling menyeksa dan membunuh antara satu sama lain.
Kitab Neraka akhirnya mencatatkan, hukuman paling menakutkan ialah di ‘Tempat Kemusnahan’ yang diawasi oleh Dewi Sekhmet. Sekhmet akan menyembelih orang-orang yang jahat tadi, kemudian mencerai-ceraikan tubuh mereka sebelum membakarnya dalam sebuah lubang yang dalam atau kawah, dengan api yang panas sehingga mereka menjadi abu.
Dalam mitologi Greek pula, neraka disebut Hades, sempena nama Tuhan Kematian. Dikatakan neraka adalah tempat kediaman Hades, letaknya di dalam perut bumi dan terbahagi kepada dua bahagian.
Pertama, disebut Erebus iaitu tempat berkumpulnya roh si mati sejurus meninggal dunia. Kedua ialah Tartarus, sebuah tempat yang lebih dalam, tempat orang-orang yang jahat dan keluarga gergasi Titan diseksa serta dipenjarakan.
Neraka digambarkan suatu tempat yang sangat gelap, dihuni sama oleh makhluk-makhluk menakutkan dan dipenuhi sungai. Di tempat yang terdapat banyak pintu gerbang itulah Hades tinggal. Pintu-pintu gerbang itu dikawal oleh raksasa yang mempunyai tiga kepala dan anjing yang mempunyai ekor naga.
Dalam mitologi Mayan pula, neraka disebut xibalba. Ia mempunyai sembilan tingkat dan syaitan Vucub Caquix serta Hun Came menjadi kepalanya. Jalan masuk dan keluar dari xibalba sangat curam, berduri serta menggerunkan. Metnal, neraka terbawah dan menyediakan seksaan paling mengerikan, diperintah oleh Ah Puch (Tuhan Kematian).
Dalam kepercayaan Zoroastrianism, neraka digambarkan sebagai tempat pembinasaan, penyeksaan di dalam cairan logam dan hukuman yang kekal selama-lamanya.
Penghuninya adalah manusia yang mempunyai jiwa yang hina dan di dalam neraka, mereka dipaksa memakan benda-benda busuk. Jika tidak mahu makan, benda-benda kotor akan disumbat ke dalam mulut, mata dan hidung mereka.
Penghuni neraka ini akan disiksa tanpa belas kasihan hinggalah ketibaan sang penyelamat pada 3,000 tahun berikutnya iaitu Ahura Mazda yang akan mendamaikan dunia, memusnahkan syaitan serta memurnikan jiwa yang kotor.
Di dalam kepercayaan purba Yahudi, orang-orang yang mati akan dimasukkan ke dalam Sheol yang terletak di dalam bumi. Bagaimanapun, pada abad kedua Sebelum Masihi, konsep ini diubah dengan mewujudkan Sheol untuk manusia yang baik dan yang jahat.
Neraka dalam kepercayaan Yahudi purba disebut Gehenna, iaitu sebuah tempat penyeksaan abadi yang dipenuhi api yang marak menyala. Istilah Gehenna ini muncul daripada dua perkataan ‘ge’ dan ‘hinno’, iaitu sebuah lembah berdekatan Jerusalem yang pernah menjadi tempat manusia dijadikan korban untuk berhala Moloch. Di situlah juga tempat orang-orang yang jahat, dibenci masyarakat dan penjenayah dibakar.
NOTA PENTING: Dalam Islam, al-Quran menggambarkan neraka dipenuhi api, haiwan-haiwan berbisa, pelbagai seksaan dan jeritan penghuninya. Terdapat lapan nama neraka yang disebutkan di dalam al-Quran, iaitu Jahannam, Jahiim, Hawiyah, Wail, Sa’ir, Ladha, Saqar dan Huthamah.
Neraka dijaga oleh Malaikat Malik manakala Malaikat Zabaniyah pula menyeksa penghuni-penghuninya.
Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisaa’; 56)
Walau macam mana jahat sekalipun kita, tidak mungkin kita mahu dimasukkan ke dalam neraka. Ini kerana kita tahu, seksaan neraka teramat sakit pedih. Tetapi peliknya, kita tetap juga melakukan kejahatan dan dosa walaupun kita tahu, kejahatan yang dilakukan itu hanya mendekatkan lagi kita dengan neraka. Manusia memang tidak pernah lepas dari dosa tapi cubalah melepaskan diri dari ruang yang dipenuhi dengan dosa.
Sumber: UtusanTV
