Sejak sekian lamanya masalah hutang tidak terlangsai berlaku dalam masyarakat. Punca utamanya adalah mereka culas membayar hutang dengan pelbagai alasan.
Sebahagiannya sengaja melupakan, ada menganggap ia tidak penting, malah ada membuat persepsi sendiri pemiutang sudah melupakan atau menghalalkannya.
Al-Quran dan hadis telah memberikan gambaran kepada penghutang yang culas dan sengaja mencari alasan daripada melunaskan hutang.
Ketika bersetuju memberi hutang dahulu, tentu pemiutang amat berharap penghutang menunaikan semula haknya kerana dia mempunyai keperluan hidup.
Berdepan dengan rakan mahupun orang terdekat yang enggan membayar hutang ini memang menyakitkan hati. Niat kita cuma mahu membantu tapi kita pula dianiaya mereka. Lebih menyakitkan hati, panggilan telefon tidak diangkat dan disekat di Whatsapp.
Tular di Indonesia, di mana seorang wanita yang dikenali sebagai Jeanis Dealova menggunakan cara yang agak ‘extreme’ untuk meminta kembali duit yang dipinjam oleh rakannya. Hal ini kerana terlalu penat dengan helah si penghutang, dia telah mencetak buku surah Yasin dengan meletakkan gambar penghutang di muka hadapan buku tersebut.
Gambar buku Yasin itu telah dimuat naik di Facebook berserta kapsyen bagi meminta orang ramai yang mengenali penghutang itu untuk mengembalikan wangnya.
Wanita itu juga turut mengirimkan buku Yasin tersebut kepada keluarga si penghutang bagi mendapatkan wangnya semula. Penghutang tersebut dipercayai meminjam duit kawannya kerana ingin membayar kos rawatan adiknya.
Walau bagaimanapun, bila tiba waktu yang telah dijanjikan untuk membayar hutang, dia tidak membayar hutang malah menghilangkan diri. Jeanis juga mendakwa penghutang tersebut telah ‘block’ dirinya di semua media sosial.
Sumber: Info Rakyat
