JOHOR BAHRU: Mustafa Omar yang merupakan Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) meninggal dunia selepas selesai memberikan ceramah kuliah Subuh di Masjid At-Taqwa, Taman Utama Pulai di sini, semalam.
Jamaludin A Hamid selaku Pengarah JAINJ berkata, Allahyarham dikatakan telah meninggal dunia pada jam 9 pagi, dipercayai akibat serangan jantung selepas pulang ke rumah.
“Allahyarham seorang yang baik keperibadiannya, masuk kerja sama dengan saya pada 1997, iaitu telah berkhidmat selama 26 tahun lamanya.
“Allahyarham seorang yang berilmu. Sebagai Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Halal lebih kurang enam tahun, beliau cukup mahir dalam bidangnya,” kata beliau ketika dihubungi.
Pada pagi semalam, Allahyarham menyelesaikan tugas memberi ceramah Subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook Masjid itu.
Di akhir ceramahnya, Allahyarham sempat berpesan tentang kematian dengan menyatakan ia pasti berlaku dan mengingatkan para jemaah supaya tidak berbangga dengan harta kerana hanya amal ibadat sahaja dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Allahyarham Mustafa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri Muar, semalam.
Sumber: HMetro
