PORT DICKSON – Walaupun sudah dimamah usia, Indun Sainuddin yang berusia 70 tahun tidak pernah mengalah dan mengerah kudrat dalam mencari rezeki sebagai nelayan bagi menyara hidupnya sejak kematian suami bertahun yang lalu.
Sejak suaminya meninggal dunia, Indun hidup bersendirian di rumahnya di tepi jeti Pengkalan Nelayan Sungai Rambai, Chuah, dekat sini.
“Rumah ini dahulunya kosong dan saya membuat sendiri katil, almari dan beberapa perabot lain menggunakan kayu yang dibuang kawasan pembuangan sampah.
“Walaupun tidak mempunyai kemahiran namun saya mencubanya kerana tidak mampu membeli barangan berkenaan,” kata Indun yang berstatus permastautin.
Menurut Indun juga, untuk menambah pendapatan dia perlu menjadi nelayan dengan mengikut nelayan sekitar situ untuk turun ke laut.
“Namun sejak kebelakangan ini hasil tangkapan terlalu kurang dan kadang-kadang tidak berbaloi selepas ditolak dengan kos bahan api. Sering juga kami pulang tangan kosong,” kata Indun yang turut membela 12 ekor kucing sebagai penemannya tatkala kesunyian.
Indun bagaimanapun cukup bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberinya bantuan bulanan sebanyak RM350 selain Baitulmal berjumlah RM250.
“Pemberian berkenaan secara langsung dapat meringankan beban saya untuk membayar bil utiliti dan menampung perbelanjaan harian.
“Selagi kudrat saya masih mampu, saya akan mencari rezeki sendiri kerana tidak mahu meminta-minta daripada orang. Cuma bimbang siapa yang akan jaga jika suatu hari nanti saya sakit,” kata Indun lagi.
Sumber: HMetro
