Seorang bomoh ditahan oleh pihak polis kerana disyaki telah merogol remaja perempuan yang berusia 15 tahun semasa upacara berubat dijalankan di sebatang anak sungai di Batang Baleh, Sarawak.
Ibu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit pada jam 1.30 tengah hari Sabtu yang lalu.
Pihak polis telah menahan lelaki berusia 34 tahun berasal dari Balingian untuk siasatan lanjut.
Menurut laporan, ibu mangsa telah membawa anak perempuannya itu berjumpa dengan bomoh terbabit untuk berubat kerana disangka anaknya telah diganggu oleh hantu tempayan.
Mangsa dipercayai dibawa ke satu tempat dengan menggunakan perahu oleh bomoh tersebut. Setibanya di lokasi, bomoh itu kemudian menggunakan upacara miring dan bebiau di tepi sungai berkenaan.
“Selepas selesai upacara miring dan bebiau, bomoh membawa anaknya ke tempat yang tidak boleh dilihat oleh mereka iaitu di sebelah hulu sungai bagi tujuan mengeluarkan hantu dari badan anaknya,” katanya.
Menurut ibu mangsa, semasa upacara membuang hantu dilakukan, anaknya telah dirogol oleh bomoh tersebut.
Namun, bomoh tersebut menyatakan kepada anaknya supaya tidak menceritakan perkara itu kerana nanti penyakitnya tidak akan sembuh dan kemungkinan akan berlarutan.
Namun begitu, semasa tiba di rumah, anaknya telah menceritakan kejadian sebenar yang berlaku kepada ibunya.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga tarikh sebutan kes untuk membantu siasatan.
“Mangsa dibawa ke hospital Sibu untuk pemeriksaan pakar,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
