KOTA KINABALU : Dua orang anggota polis masing-masing inspektor dan sarjan cedera di bahagian kepala, lengan dan bahu kanan akibat ditetak oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal semalam.
Kejadian pada jam 2.30 petang itu berlaku ketika pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tersebut melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan berkaitan amuk berkenaan.
Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah selaku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu berkata, suspek bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging bertindak mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah berkenaan.
“Lelaki berkenaan dikatakan turut mengasari kakaknya. Suspek enggan menyerah diri, namun bersetuju untuk membebaskan kakaknya sebelum mengunci diri bersama ibunya di dalam bilik tidur.
“Suspek enggan membebaskan ibunya walaupun sudah dua jam dipujuk. Polis kemudian bertindak memecahkan pintu bilik lalu menyerbu masuk sebelum berjaya menyelamatkan wanita itu,” kata Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, ketika diserbu suspek bertindak secara agresif dan bertindak menetak serta mencederakan seorang inspektor dan sarjan.
“Kedua-dua anggota cedera di lengan, kepala dan bahu kanan manakala suspek berusia 42 tahun hanya cedera ringan di muka manakala ibu suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata beliau.
Dalam pada itu juga, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, siasatan mendapati suspek adalah bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.
“Kedua-dua anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cubaan bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” ujar Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah.
Sumber: Kosmo
