SEREMBAN: Sebuah bagasi pakaian berwarna hijau yang ditinggalkan di hadapan premis perniagaan di Bandar Baru Nilai yang disangka berisi bom telah menggemparkan orang ramai.
Superitenden Mat Ghani Lateh selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai berkata, pihak polis ada menerima panggilan daripada orang awam iaitu seorang wanita pada jam 1 tengah hari di mana dia memaklumkan terdapat satu beg pakaian yang mencurigakan telah ditinggalkan di hadapan premis perniagaan tersebut.
“Anggota yang bertugas telah diarahkan untuk ke lokasi bagi menjalankan siasatan. Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian,” kata Superitenden Mat Ghani Lateh kepada pemberita.
Superitenden Mat Ghani Lateh berkata juga, beg yang ditinggalkan tersebut telah dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard sedia ada dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati bahawa di dalam beg tersebut hanya mengandungi pakaian.
“Tiada penemuan sebarang bom di dalam beg tersebut dan dipercayai beg itu telah tertinggal kerana tempat kejadian merupakan pusat transit bas ekspres bagi kawasan Nilai.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mendatangkan kegusaran,” kata Superitenden Mat Ghani Lateh lagi.
Sumber: Info Rakyat
