BANGKOK : Seorang pemandu lori treler maut akibat dihempap dengan kepingan kaca dan bingkai yang dibawanya di Cherng Talay, Phuket. Kepingan kaca dan bingkai itu seberat 3 tan.
Leftenan Kolonel Warawut Sensob sebagai seorang pegawai polis tempatan dari Balai Polis Cherng Talay telah dimaklumkan mengenai kemalangan ngeri itu pada jam 2.30 petang (waktu tempatan). Dia mendapati bahawa treler tersebut berada di hadapan sebuah gudang besar yang sedang menjalani pembinaan semula.
Mangsa yang dikenali sebagai Chitjit Puengboon, 44 tahun berasal dari wilayah Nakhon Phanom.
Mayatnya ditemui di dalam treler di bawah kepingan kaca yang sangat besar dan setebal beberapa sentimeter.
Kepingan kaca itu diangkat melalui bantuan kren di lokasi sekali gus membolehkan anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang kemudiannya telah dibawa ke Hospital Thalang.
Kulchira Phumprathum, 40 tahun, yang merupakan pembantu ketua kampung Moo 6 memberitahu bahawa kemungkinan Chitjit berada di bahagian belakang treler ketika kepingan kaca itu dinaikkan.
Sumber: Kosmo
