JERANTUT : Lelaki warga emas telah disahkan maut manakala dua orang wanita dan seorang bayi berusia lima bulan cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 12 Jalan Jerantut Maran.
Kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 1 tengah hari itu juga menyaksikan kenderaan jenis Proton Exora yang dinaiki mangsa telah terbakar.
Superintendan Mazlan Hassan selaku Ketua Polis Daerah Jerantut berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 83 tahun bersama tiga wanita dan seorang bayi dalam perjalanan dari bandar Jerantut ke Felda Kota Gelanggi Satu.
“Apabila tiba di tempat kejadian pemandu MPV yang merupakan seorang wanita dipercayai cuba memotong tetapi gagal dan bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan.
“Akibat pertembungan ini, Proton Exora berkenaan telah terbakar tetapi kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang melalui jalan tersebut,” kata Superintendan Mazlan Hassan.
Kata beliau juga, penumpang MPV yang berada di tempat duduk hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Superintendan Mazlan Hassan, mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.
Kata beliau lagi, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan adalah kering.
Sumber: Kosmo
