KOTA BHARU – Dua beradik di Kampung Berhala Lima, Limbat terpaksa ponteng sekolah sejak tiga minggu lalu akibat tidak mempunyai wang saku untuk berbelanja makan di sekolah.
Mereka ialah Nurul Adawiyah Wahyu Azizi, 12 tahun, yang bersekolah darjah enam di Sekolah Kebangsaan Long Gafar dan kakaknya, Nur Batrisha Hidayah, 16 tahun, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Saadong.
Kedua-duanya anak kepada pasangan suami isteri, Aziz Mohd Nor, 49 tahun, (bekerja tidak tetap seperti mengambil ubah mengecat rumah sekitar RM50 sehari) dan Azleen Ahmad Azmi, 44 tahun, (tukang cuci dengan pendapatan tidak tetap RM60 sehari).
Azleen berkata, Nur Batrisha juga anak kedua daripada tujuh beradik itu sepatutnya pulang ke asrama sekolah yang terletak di Bukit Marak, Bachok, sejauh 10 kilometer dari rumah mereka. Namun tidak pulang disebabkan tiada duit belanja untuk dibawa bersama.
Menurut Azleen, dia dan suami tidak dapat menyediakan sejumlah wang untuk anak mereka belanja di sekolah pada setiap minggu.

Azleen (kanan) memangku anak bongsu bersama enam lagi anaknya.
“Anak ketiga, Nurul Adawiyah pun sama tidak dapat ke sekolah kerana saya tidak dapat memberikan wang saku sebanyak RM3 setiap hari.
“Dia memperoleh Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tetapi tidak dapat menahan lapar kerana perlu mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di sekolah sehingga jam 3.30 petang,” katanya ketika ditemui di rumah mereka.
Ujar Azleen lagi, enam daripada tujuh anaknya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 sebulan.
Dia berkata, jumlah itu bagaimanapun masih lagi tidak mencukupi dengan keadaan tiga anak berusia empat tahun (perempuan), tiga tahun (lelaki) dan empat bulan (perempuan) masih lagi minum susu formula manakala dua daripadanya memakai lampin pakai buang sementara seorang lagi berusia enam tahun bersekolah tadika.
“Kos susu sahaja sebulan hampir RM800 dan lampin pula RM150, makan minum ala kadar sahaja. Kadang-kala, kami makan mi segera atau nasi dengan telur goreng.
“Ada juga hari yang kami makan lauk semalaman seperti gulai ayam dalam ketulan kecil dibahagikan beramai-ramai,” kata Azleen.
Ujar wanita itu, ada saja hari anak-anak ke sekolah tanpa membawa wang saku tetapi mereka sudah tidak dapat bertahan dengan keadaan sebegitu lagi.
Dia juga memberitahu bahawa wang dan makanan menjadi keutamaan yang sangat diperlukan oleh keluarganya melebihi keperluan tempat tinggal mereka sembilan beranak.

Azleen (tengah) sekeluarga tinggal di sebuah rumah terbengkalai.
“Rumah yang kami duduki ini ialah rumah kosong di taman perumahan terbengkalai.
“Pemilik membenarkan kami tinggal di sini sejak tiga tahun lalu, namun sekarang sudah dijual kepada orang lain dan selepas ini kami akan pindah ke rumah kosong terbengkalai yang lain di hadapan rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu juga, hasil daripada semakan, keluarga ini pernah menerima zakat berjumlah RM2,000 melalui Bantuan Segera Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan bantuan persekolahan anak-anak pada Januari lalu.
Bagi orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Aziz Mohd Nor 03111020837104 atau hubunginya di talian 011-72767414.
Sumber: Sinar Harian
