GOPENG : Sepasang suami isteri meninggal dunia selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki oleh mereka terbabas akibat melanggar pagar sebuah premis di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu, semalam.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pada pukul 5.20 petang itu, mangsa, Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43, yang merupakan penumpang belakang disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Ibu Kisdalliana berusia 63 tahun yang juga pemandu kereta dan anak perempuan pasangan terbabit berusia 7 tahun dilaporkan mengalami cedera parah di bahagian kepala.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu baru sahaja mendaftar masuk anak mereka di Kolej Matrikulasi Perak dan keluar membeli barang keperluan sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barangan yang telah dibeli.
Superintenden Mohamad Nazri Daud selaku Ketua Polis Daerah Kampar berkata, laporan awal kemalangan diterima melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri.

Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang terbabas di Jalan Gopeng-Kota Bharu di Gopeng pada Isnin.
“Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan kilang memproses tayar terpakai. Kenderaan berkenaan dipandu dari arah Gopeng menuju ke Kota Bharu.
“Kereta terbabit didapati berada di atas pagar dengan kedua-dua mangsa berada berhampiran kenderaan itu. Difahamkan mayat mangsa dialihkan oleh pihak bomba,” kata Superintenden Mohamad Nazri Daud.
Menurut Mohamad Nazri, kedua-dua mangsa yang parah pula dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan.
Tambah beliau lagi, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu pula, Sayani Saidon selaku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi menyelamat dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng.
“Terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian penumpang manakala tiga yang lain dikeluarkan oleh orang awam.
“Pasukan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata Sayani Saidon.
Menurut beliau juga, mangsa yang parah dihantar mendapatkan rawatan di hospital dengan menggunakan ambulans dan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Sumber: Sinar Harian
