GUA MUSANG : Seorang bayi lelaki yang baru sahaja berusia 39 hari telah meninggal dunia semasa sedang tidur di rumahnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Jalan Persiaran Raya.
Superintendan Sik Choon Foo selaku Ketua Polis Daerah Gua Musang berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima laporan kematiannya pada jam 7.20 pagi.
Kata Superintendan Sik Choon Foo, siasatan awal mendapati bahawa bapa bayi berkenaan yang berusia 39 tahun melihat anaknya tidak sedarkan diri selepas bangun daripada tidur kira-kira pada jam 5 pagi.
“Dia meminta bantuan jiran untuk hantar anaknya ke hospital dan bayi terbabit diberi rawatan segera, namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia,” kata beliau ketika dihubungi.
Superintendan Sik Choon Foo memberitahu juga bahawa hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu adalah disebabkan ‘pulmonary hemorrhage’ atau masalah saluran darah pada paru-paru.
Kata Superintendan Sik Choon Foo lagi, siasatan lanjut terhadap kematian bayi itu masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
Sumber: Kosmo
