Seorang lelaki di Thailand mati selepas ditembak pada bahagian perut dan kemaluan kerana kerap mengganggu serta menyerang bekas teman wanitanya.
Chawarit Tirananon telah ditembak mati oleh rakan bekas kekasihnya, Thanonsak Pruemarporn selepas dia menyerang dan membelasah wanita berkenaan.
Dalam kejadian tersebut, Chawarit disahkan mati selepas dibawa ke hospital setelah ditembak oleh bekas pegawai SEAL Tentera Laut Diraja Thailand itu.
Bekas teman wanitanya, Sanatsada Piwita berkata, Chawarit cuba untuk memenangi hatinya kembali, namun sikap lelaki itu yang sering mengekorinya membuatkan dia berasa takut.
Justeru itu, dia meminta Thanonsak membantu untuk melindunginya daripada sikap ganas Chawarit yang membimbangkan.
Pada hari kejadian, Chawarit dan seorang rakannya dikatakan sedang menunggu Sanatsada di hadapan rumahnya. Hal itu menyebabkan wanita itu berasa takut lalu segera menghubungi Thanonsak.
Sebelum Thanonsak tiba di rumah Sanatsada, Chawarit melepaskan beberapa das tembakan ke arah trak pikap milik Sanatsada sebelum mengheret wanita itu keluar daripada kenderaan dan bertindak untuk membelasahnya.
Sejurus tiba, Thanonsak menembak Chawarit dalam usaha mempertahankan diri. Namun begitu, peluru mengenai perut dan zakar lelaki tersebut lalu membunuhnya.
Thanonsak pada awalnya menghadapi dakwaan membawa senjata api di tempat awam tanpa kebenaran.
Namun, polis kemudian mengumumkan akan melakukan siasatan terperinci mengenai kes tersebut. Keputusan sama ada Thanonsak akan didakwa kerana membunuh hanya akan diumumkan selepas siasatan selesai.
Sumber: Kosmo
