BANGKOK : Seorang wanita yang sepatutnya sudah mati telah mengejutkan ahli keluarganya apabila terjaga semula semasa mereka sedang melakukan persiapan pengebumiannya di sebuah wat di Thailand.
Chatapon, 49 tahun, telah dilaporkan menghidap penyakit yang serius dan doktor memaklumkan bahawa peluangnya untuk hidup adalah sangat tipis.
Ibunya, Mali membuat keputusan agar anak perempuannya yang berada di Bangkok, dihantar semula pulang ke rumah mereka di Ban Dung demi menuruti permintaan terakhirnya.
Walau bagaimanapun, Chatapon didakwa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke rumahnya. Mali segera meminta saudara-mara untuk membuat persiapan bagi upacara pengebumian anaknya itu.
Apabila kenderaan membawa Chatapon memasuki Wat Sri Phadung, wanita itu telah mengejutkan orang yang berada di dalam van apabila dia didapati sudah hidup semula.
Apabila menyedari Chatapon sedarkan diri, Mali bergegas membawa anaknya ke Hospital Somdet Phra Yuparaj di Ban Dung. Dia dengan gembiranya memaklumkan bahawa anaknya masih hidup.
Kejadian itu mengejutkan semua saudara-mara terutamanya apabila mereka sudah menyediakan keranda kerana menganggap Chatapon sudah meninggal dunia namun sebaliknya.
Wanita itu kini berada di bawah pengawasan perubatan di Hospital Ban Dung namun masih lagi bertarung nyawa dengan penyakitnya.
Sumber: Kosmo
