KUALA LANGAT : Seorang pemuda dipercayai menghadapi masalah tekanan perasaan dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai di Kampung Labohan Dagang, Banting.
Mangsa yang berusia 24 tahun itu dikatakan baharu diberhentikan kerja tiga hari yang lalu. Mangsa dilihat terjun ke dalam sungai tersebut kira-kira pada jam 5.30 pagi oleh orang awam yang berada di kawasan tersebut.
Muhammadul Ehsan Mohd. Zain selaku Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor berkata, seramai tujuh orang anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas menujuke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 7.02 pagi.
Kata beliau, selipar mangsa turut ditemui di lokasi kejadian dan telah disahkan oleh waris mangsa.
“Berdasarkan maklumat awal mendapati lelaki tersebut mengalami tekanan perasaan sama ada melibatkan keluarga atau cinta.
“Pemuda itu juga baharu tiga hari diberhentikan kerja sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah beliau lagi, anggota operasi membuat pencarian di sekitar tebing sungai selain menggunakan bot bagi kaedah ‘surface searching’.
Jelas Muhammadul Ehsan, setakat ini mangsa masih belum ditemui dengan Pusat Kawalan Bencana juga telah dibuka di lokasi kejadian.
Sumber: Kosmo
