PETALING JAYA : Seorang wanita kesal akan sikap penyewa yang meletakkan tuala wanita merata-rata, sampah dibiarkan dalam rumah, sinki pula penuh dengan pinggang mangkuk tak bercuci.
Seorang pemilik ‘homestay’ (inap desa) meluahkan rasa kesal itu di laman Facebooknya apabila rumahnya bersepah dan kotor angkara seorang penyewa wanita yang mendiami kediaman tersebut dalam tempoh tiga bulan.
Jelas pemilik yang dikenali sebagai Irwan Nurul, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia mengusahakan inap desa hampir tiga tahun.
“Guest (tetamu) kami perempuan dan cantik orangnya. Dia menyewa selama 3 bulan dan hari ini (kelmarin) beliau ‘checkout’ (daftar keluar).
“Untuk 3 bulan ini, kami menyediakan perkhidmatan cleaning (pembersihan) sebulan skali. Ini untuk keselesaan tetamu dan juga untuk melihat keadaan rumah.
“Setiap kali buat kerja pembersihan, keadaan unit kami agak teruk, sampah merata-rata, pinggan tak dibasuh. Mau sebulan tak basuh pinggan.
“Sinki penuh sisa makanan, jadi kami berikan teguran kali pertama dan bila pembersihan kali kedua dilakukan keadaan hampir sama,”luahnya.
Kata Irwan Nurul lagi, walaupun sudah ditegur tetapi penyewa itu tidak langsung memberi kerjasama dan tetap meneruskan ‘perangai’ buruknya.
“Sebelum ‘daftar keluar’, sekali lagi kami berikan arahan dan sekali lagi kami ingatkan supaya tinggalkan rumah seperi keadaan ketika dia ‘check in’ (daftar masuk).
“Tapi bila kami masuk untuk buat pembersihan keadaan rumah tak seperti yang kami harapkan. Keadaan sangat teruk, sampah merata-rata.
“Pinggan penuh di sinki, sisa makanan di dalam sinki, sisa makanan di dalam peti ais. Tuala wanita dan sampah tak di buang, sedih tengok keadaan rumah,” katanya.
Ujar Irwan Nurul lagi, dia terpaksa mengeluarkan sejumlah kos untuk kerja-kerja membersihkan semula inap desanya itu bagi keselesaan tetamu yang akan menginap nanti.
Walau bagaimanapun, dia mendapat sedikit pampasan kerana inap desanya berdaftar dengan sebuah aplikasi dan pengendali aplikasi itu juga telah menyenarai hitamkan penyewa tersebut daripada senarai.
Sumber: Kosmo
