IPOH : Kemusykilan bau busuk dari sebuah rumah di Taman Pinji, telah membongkar penemuan mayat seorang warga emas yang tinggal berseorangan. Warga emas tersebut ditemukan maut di rumah tersebut oleh pasukan bomba pada petang semalam.

Sayani Saidon selaku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengatakan bahawa jiran ada terhidu bau busuk dari rumah berkenaan. Susulan daripada itu, dia telah membuat aduan kepada pihak polis kerana mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa warga emas berusia 70-an itu.

“Berdasarkan maklumat dari pihak polis, seorang lelaki didapati terkunci dalam rumah berkenaan dan anggota terpaksa memecahkan pintu dengan menggunakan peralatan khas.

“Terdapat seorang mangsa yang tidak sedarkan diri dan telahpun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital, yang tiba di lokasi kejadian,” kata Sayani Saidon dalam kenyataan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sayani Saidon berkata, mangsa dianggarkan telah meninggal dunia tiga hingga empat hari yang lalu dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis, untuk tindakan yang selanjutnya.

Sebelum mayat warga emas tersebut dijumpai, JBPM Perak terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah, setelah menerima aduan mengenai seorang warga emas terkunci di dalam sebuah rumah di Taman Pinji Mewah.

Warga emas yang berusia 80-an itu bagaimanapun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang terlibat.