JOHOR BAHRU : Seorang lelaki bersikap pedofilia telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas tiga pertuduhan merogol, amang seksual dan merakam video porno mangsa. Tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu pada lima tahun yang lalu.
Tertuduh yang berusia 41 tahun itu turut didakwa atas satu pertuduhan kerana memiliki gambar pornografi mangsa, Mei lalu.
Tertuduh yang merupakan seorang mekanik kapal di Singapura itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim V.M. Mabel Sheela.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol, melakukan perbuatan amang seksual dan merakam video pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah rumah di taman perumahan di sini pada pukul 1.30 pagi, 1 Ogos 2018. Mangsa adalah merupakan anak saudara tertuduh.
Dia turut dituduh memiliki pelbagai video dan gambar pornografi kanak-kanak berkenaan di sebuah taman perumahan di Iskandar Puteri pada pukul 9 malam, 24 Mei lalu.
Disebabkan perbuatan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan; Seksyen 5, Seksyen 10 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun atau sebatan. Tertuduh juga berdepan dengan denda sehingga RM10,000.
Nor Fadilah Johanuddin selaku Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin diberi.
Mabel Sheela kemudian menawarkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan kepada tertuduh yang diwakili peguam, Baharudin Baharim, selain menetapkan tarikh 24 Julai untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, difahamkan tertuduh bakal berdepan dengan pendakwaan mahkamah atas kesalahan serupa melibatkan mangsa sama di beberapa negeri lain iaitu di Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.
Kesemua kejadian tersebut dipercayai telah dilakukan ketika mangsa berada dalam penjagaannya sewaktu musim cuti persekolahan.
Sumber: Kosmo
