Di Kuala Lumpur, seorang lelaki bertindak secara melulu dengan memaki pengawal keselamatan di kawasan kediamannya di Taman Sri Sentosa, di sini, selepas kad akses masuk miliknya tidak dapat digunakan.
Kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 pagi kelmarin itu kemudian tular di media sosial selepas satu video yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter melalui satu pautan dan menerima 24 tanda suka, satu komen serta lapan ulang ciap (retweet).
Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor selaku Ketua Polis Daerah Brickfields berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 14 saat itu pada jam 8.59 pagi semalam.
Kata beliau, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.
“Menurut pengadu, suspek yang memandu sebuah kereta BMW adalah merupakan penghuni di kawasan kediaman terbabit.
“Suspek dikatakan membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan dengan memarahi serta memakinya dengan menggunakan perkataan yang kesat.
“Pengadu sebagai saksi kejadian merekod perselisihan faham yang berlaku itu menggunakan telefon bimbit miliknya,” kata Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dalam satu kenyataan.
Asisten Komisioner Amihizam berkata, hasil daripada siasatan, polis mendapati bahawa kad akses masuk suspek tidak dapat digunakan yang mencetuskan pertengkaran dengan perbuatan lelaki itu dirakam oleh pengawal bertugas.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian sendiri berhubung video tular itu memandangkan pengadu dan suspek sudahpun menyelesaikan permasalahan berkenaan secara baik.
“Pengadu juga sudah menarik laporan dan tidak mahu pihak polis meneruskan siasatan,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah di daerah itu supaya menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Sumber: HMetro
