Seorang bapa sanggup datang ke sebuah klinik semata-mata ingin mencarikan kerja untuk anaknya yang masih lagi mengganggur, namun usaha itu sedikit pun tidak dihargai oleh anaknya, malah dia turut dimarah kononnya melakukan sesuatu yang memalukan.
Kisah itu diceritakan oleh seorang pegawai perubatan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan yang menerima kehadiran lelaki itu di kliniknya untuk mencari peluang pekerjaan untuk anaknya.
“Seorang lelaki berumur sekitar 50-an datang ke klinik dengan fail tebal. Saya sangka itu dokumen masalah kesihatan dia. Dia datang mohon kerja untuk anak dia. Anak dia tu ada diploma, dah 10 bulan graduasi, masih tak dapat kerja,” katanya pada satu hantaran di Facebook.
Dr. Kamarul berkata, lelaki tersebut bercerita bahawa anaknya seorang yang pemalu tetapi dia sangat rajin, boleh melakukan kerja dengan baik selain merupakan pelajar yang cemerlang di kolej.
“Sambil dan belek sijil-sijil. Resume tulisan tangan. Tulisan dia kemas betul. Ayatnya teratur, dan sopan. Semua dokumen lengkap. Ada surat sokongan ketua kampung.
“Aku pasti itu bukan tulisan anak dia. Sama ada tulisan pakcik ni, atau isteri dia. Saya pasti kerana ejaannya gunakan ejaan orang lama,” kata Dr. Kamarul.
Dr. Kamarul Ariffin berkata lagi, beliau kemudian meminta lelaki tersebut memberitahu anaknya supaya datang pada hari Jumaat untuk menghadiri sesi temu duga di klinik tersebut.
“Dia pun terus masa tu juga telefon. Memandang tak ada pesakit lain sedang menunggu, jadi saya pun tunggu sahajalah di telefon. ‘Ayah ni, tak payahlah malukan kita macam ni. Mana ada orang minta ayah tolong carikan kerja’.
“Itu apa yang aku dengar anak dia cakap. Pakcik ni diam sahaja dengar. Aku yang memang dah sedih ni, bila dengar macam tu, jadi pilu pula. Rasa macam tersiat hati ni,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Dr. Kamarul Ariffin tetap memberikan peluang untuk datang temu duga dan lelaki tersebut bersama anaknya hadir pada tarikh yang dijanjikan walaupun telah lewat sampai pada waktu malam.
“Aku pun temu dugalah budak tu. Tanya satu soalan, dia jawab sepatah dua. Tanya visi dia, dia jawab jawapan terlalu generik. Bila tanya jumlah gaji yang dia harapkan, dia sebut satu jumlah yang saya tak mampu bayar pun,” katanya.
Dr. Kamarul Ariffin berkata, selepas memberitahu gaji yang mampu dibayar olehnya, dia hanya berdiam dan kemudian sesi temu duga tersebut tamat.
“Masa keluar klinik, saya terdengar budak tadi tengah marah ayah dia. ‘Sebab tu orang kata, tak payahlah sibuk nak carikan kerja untuk orang, gaji dia nak bagi sikit gila. Macam mana nak bayar PTPTN orang kalau banyak tu, lain kali tanyalah dulu gaji berapa.
“Aku masuk balik dalam klinik. Sebab tak mahu teruskan lagi dengar apa yang hendak dikata oleh budak tu. Terlalu pedih buat saya untuk lihat dan dengar. Lepas budak tu dengan ayah dia beredar naik motosikal. Barulah aku keluar dari klinik. Hiba pula bila lihat situasi mereka tadi.
“Apa yang lebih hiba, esoknya si ayah telefon klinik dan meminta maaf sebab anaknya cakap saya tawarkan gaji rendah. Rupanya si ayah perasan saya terdengar perbualan mereka sewaktu di luar klinik.
“Berulang-ulang kali dia minta maaf. Begitulah ibu bapa kita. Sentiasa cuba untuk lakukan apa yang terbaik untuk kita. Sentiasa cuba menimbus aib kita yang kita sendiri buka.
“Sentiasa menutup mata atas kesalahan kita pada mereka. Hargailah usaha mereka, sayangilah mereka,” kata Dr. Kamarul.
Sekirnya ada anak yang sedang membaca, fikir-fikirkanlah. Sanggupkah kita memberikan layanan sebegitu kepada ibu atau bapa yang sanggup lakukan apa sahaja untuk kita.
Sumber: Kosmo
