KOTA BHARU: Disebabkan berang akan bapa yang menjual rangka motosikal miliknya, seorang anak sanggup menghentak kepala mangsa menggunakan mangkuk besi mesin pengisar adunan tepung dalam kejadian di Kampung Bechah Keranji, Peringat.
Kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang itu, mengakibatkan mangsa, Zulkifli Mohamad yang berusia 54 tahun, menerima tiga jahitan pada bahagian dahi.
Selain dihentak, anak lelakinya yang berusia 20 tahun itu juga turut menendang dan menumbuk bapanya ketika mereka bergelut di dalam sebuah bilik di rumah mereka.
Zulkifli mendakwa, anaknya berang selepas mengetahui rangka motosikal jenis Modenas Kriss miliknya yang disimpan di dalam stor rumah sudah tiada.
Katanya, sebelum ini anaknya itu sering menjual barangan di dalam stor rumah seperti enjin motosikal dan sangkar kucing secara dalam talian.
“Saya pernah memarahinya kerana sering menjual barangan di rumah ini. Apabila saya menjual rangka motosikal yang ada di dalam stor, dia pula marah dengan tindakan yang saya lakukan.
“Pada awalnya, dia marah sebelum menendang dan menumbuk saya. Dia kemudiannya bergegas keluar mengambil besi mesin pengisar adunan tepung lalu menghentak peralatan itu ke dahi saya,” kata mangsa ketika ditemui.

Zulkifli diziarahi oleh jirannya selepas menerima rawatan di Klinik Kesihatan Peringat, Kota Bharu..
Menurut Zulkifli yang turut menghidap angin ahmar berkata, selepas kepalanya berlumuran darah, anaknya terus melarikan diri dengan memandu sebuah kereta.
Katanya lagi, dia terus bergegas keluar dari rumah untuk meminta pertolongan jiran supaya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Peringat.
“Anak perempuan jiran membantu menghantar saya ke klinik selepas melihat muka saya yang berlumuran darah.
“Selepas mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Peringat, saya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira pada pukul 10 pagi ,” ujarnya lagi.
Zulkifli memberitahu, sebelum ini, dia dan anaknya pernah bertumbuk selepas berselisih faham, namun tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
Superintendan Mohd. Suhaimi Ali selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek.
Sumber: Kosmo
