JEMPOL: Seorang warga emas telah kehilangan dokumen penting termasuk kad bank dan wang tunai RM150 selepas beg silang miliknya dicuri oleh lelaki yang ‘berselimut’ ketika solat subuh di Surau Kampung Indah, Bahau.
Kelakuan suspek berjaya dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) surau berkenaan setelah mangsa Abdul Rahman Salimap, 68, menyedari begnya tiada di sisi.
Menurut anak tiri Abdul Rahman, Rafika Fitri Masweldi, 33, bapanya itu selalu menunaikan solat lima waktu di surau berkenaan dan itu merupakan kejadian kelima membabitkan jenayah curi dan pecah tabung surau di situ.
Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 6 pagi, ketika itu Abdul Rahman menjadi imam dan ada jemaah wanita di belakang tabir. Bagaimanapun, mangsa menyedari terdapaat kelibat dibelakangnya namun beranggapan ada jemaah lain datang untuk menunaikan solat bersama.
“Selesai solat, beg yang diletakkan di tepi sudah hilang, lalu ayah memaklumkan perkara itu kepada imam surau sebelum memeriksa CCTV,” kata anak mangsa ketika dihubungi.
Ujarnya lagi, selain kad bank dan wang tunai, lesen memandu turut berada di dalam beg berkenaan malah kad pengenalan serta beberapa dokumen lain juga ada.
Katanya, wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk membeli ubat berikutan kesihatan ayahnya yang tidak begitu baik termasuklah penglihatannya.
“Dalam bank ada juga duit namun kami sudah ‘block’ kad berkenaan. Saya berharap si pelaku dapat ditangkap kerana bukan senang untuk mencari wang pada zaman ekonomi yang tidak menentu ini.
“Tambahan pula dengan keadaan kesihatan ayah yang sudah uzur… saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati walaupun berada dalam surau ataupun masjid,” kata Rafika yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada hari Rabu.
Dalam pada itu, berdasarkan perkongsian rakaman CCTV yang dimuat naik oleh Rafika Fitri di Facebook memaparkan seorang lelaki dilihat masuk ke dalam surau dengan menutup muka dan badannya dengan menggunakan kain dipercayai adalah selimut.
Lelaki terbabit kemudiannya mencapai beg silang di bahagian tepi surau sebelum keluar.
Sementara itu, Superintenden Hoo Chang Hook selaku Ketua Polis daerah Jempol, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
