Seorang ahli fisioterapi ditahan polis apabila hadir ke balai polis bersama mayat ibunya yang dimasukkan di dalam beg pakaian.
Mirror UK melaporkan, wanita berkenaan, Sonali Sen telah datang ke balai polis pada Isnin lalu. Dia hadir bersama dengan beg pakaian beroda yang mengandungi mayat seorang wanita lain yang dalam keadaan meringkuk.
Sonali yang berusia 39 tahun, mengaku bersalah kepada polis bahawa dia menggunakan selendang untuk mencekik ibunya, Biva Pal yang berusia 71 tahun itu sehingga mangsa mati.
Suspek sebelum itu memaksa mangsa menelan pil tidur dan ketika kejadian, anak suspek juga berada di dalam rumah.
Semasa pemeriksaan lanjut dilakukan, polis mendapati bahawa suspek turut menyembunyikan bingkai gambar arwah suami ibunya di dalam beg bersama mayat tersebut.
C K Baba selaku Ketua polis tempatan berkata, Sonali memberikan kira-kira 20 pil tidur kepada ibunya pada pagi Isnin.
“Selepas mangsa mengadu sakit perut akibat pengambilan pil itu, mangsa itu kemudian dicekik sehingga mati oleh suspek yang juga anak perempuannya.
“Kejadian suspek mencekik ibunya dengan selendang itu dipercayai berlaku antara pada jam 11 pagi hingga 11.30 pagi selepas suami suspek telah keluar bekerja.
“Ketika pembunuhan itu berlaku, ibu mentuanya dan anaknya turut berada di dalam rumah itu tetapi di dalam bilik yang berbeza,” kata C K Baba.
Menurut pihak polis, terdapat pertengkaran yang kerap berlaku antara Biva dan ibu bapa mentua Sonali.
Sonali dikatakan ada mengambil ubat tekanan darah tinggi, namun difahamkan tidak mempunyai sejarah penyakit mental.
Pihak polis percaya bahawa sebagai ibu kepada seorang anak lelaki autistik, Sonali mungkin mengalami tekanan yang teruk, ditambah pula tinggal bersama ibu bapa mentua dan ibu kandung di dalam sebuah rumah yang sama.
Sonali kini disiasat kerana kes membunuh.
Kejadian berlaku di New Delhi.
Sumber: HMetro
