REMBAU- Seekor harimau kumbang jantan telah ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan yang dipasang di Kampung Solok Baing.
Seorang penternak lembu di kampung itu, Badrul Sham Ithnin yang berusia 39 tahun berkata, haiwan liar itu dipercayai masuk ke dalam perangkap sekitar tengah malam kelmarin selepas kelibatnya terakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kandang salah seorang rakannnya yang juga penternak di situ.
Dua tahun yang lalu, ada seekor harimau kumbang masuk ke dalam perangkap di kampung ini dan ini merupakan kejadian kali yang kedua.
“Memang sebelum ini kami tahu harimau kumbang ada berhampiran perkampungan ini namun ia tidak berani membaham binatang ternakan,” kata Badrul.
Dua tahun kebelakangan ini, harimau kumbang ini makin berani membaham binatang ternakan dan empat ekor anak lembu Badrul juga sudah menjadi mangsa harimau kumbang tersebut.
Ujar Badrul Sham lagi, walaupun sudah dua ekor harimau kumbang jantan masuk ke dalam perangkap namun penduduk masih lagi berasa bimbang kerana dipercayai masih terdapat harimau kumbang betina yang mungkin berlegar-legar di kawasan berhampiran. Hal ini juga akan menyebabkan binatang ternakan semakin lama semakin berkurangan.
Sumber: Utusan Malaysia
