KOTA BHARU: Seorang wanita dilihat berpakaian tidak sopan sambil membuat ‘catwalk’ di tengah-tengah bandar. Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tindakan dia bukan sahaja melanggar akhlak Islam, bahkan boleh menimbulkan fitnah terhadap agama dan masyarakat yang lain.
Jelas Mufti Kelantan , tindakan wanita terbabit memberi gambaran yang boleh menimbulkan pelbagai pandangan negatif walaupun niatnya tidak diketahui secara jelas.
Wanita itu dilihat berpakaian tidak sopan dan sudah terang-terangan salah dari segi hukum Islam, malah tindakannya pula boleh menimbulkan tuduhan, ini yang dipanggil satu penyebaran fitnah tidak kiralah terhadap dirinya mahupun umat Islam yang lain.
“Individu ini juga cuba memburuk-burukkan imej negeri dan agama apabila berpakaian tak senonoh berdekatan dengan al-Quran walaupun sekadar replika di pintu gerbang,” kata Mufti Kelantan ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai satu rakaman video yang telah tular di Facebook di mana memaparkan perlakuan seorang wanita berjalan di Taman Hijau dan di hadapan pintu gerbang al-Quran depan Istana Balai Besar dengan berpakaian yang terlalu mencolok mata.
Tindakan wanita itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang telah menonton video tersebut.
Sementara itu, Mufti Kelantan ada menasihati umat Islam supaya mempunyai pendirian yang teguh dalam berpegang kepada ajaran agama.
“Jangan lagi dijajah dari segi pemikiran atau perasaan, sebaliknya perlu dominan dalam kehidupan ini dan tidak membiarkan pengaruh luar mendominasi kehidupan.
“Hukuman adalah langkah terakhir sebaliknya paling penting usaha dakwah dan pendidikan semua pihak yang mesti diteruskan bagi membendung perkara sebegini,” ujar Mufti Kelantan lagi.
Sumber: Astro Awani