PETALING JAYA – Seorang bapa terkejut apabila mendapati wang simpanannya yang berjumlah RM1,500 tiba-tiba hilang. Rupa-rupanya duit itu berada di dalam beg sekolah anak perempuan keduanya.
Menerusi satu perkongsian klip video di Intagram, bapa tersebut terkejut apabila mendapati duit simpanannya diambil oleh anak keduanya itu untuk disedekahkan kepada rakan sekolah yang kurang berkemampuan dan susah.
Walaupun berang akan tindakan anak perempuannya itu, lelaki tersebut tetap tenang dan sabar. Dia hanya menasihati anaknya itu kerana tindakan mengambil duit itu adalah salah dan berdosa di sisi agama.
“Patutlah abah cari duit ni tak ada, berapa orang dah bagi? Bagi duit ni sebab dia susah? Selamat Allah nak tunjuk hari ini. Punya lama abah cari duit ni.
“Susah abah nak dapatkan duit banyak ni, abah pun nak bayar banyak benda lagi. Jangan buat macam ni lagi,” tegur lelaki itu kepada anak perempuannya.
Dalam pada itu, pengguna media sosial lain turut simpati dengan apa yang telah dilakukan oleh kanak-kanak tersebut dan menyifatkan niat dia untuk membantu rakannya yang susah itu bagus namun mengambil duit ayahnya adalah satu kesalahan.
“Masya-Allah betul la tu niat anak tu baik nak bantu kawan nak bersedekah tapi anak tu kena tanya dan minta izin terlebih dahulu pada Abah dia sebab tu duit Abah dia.
“Salah tu dia rembat saja duit Abah dia. Mujur Abah dia tak tinggi suara, boleh lagi ‘cool’ tenang saja Abah dia. Syukur la dia ada Abah lagi,” tulis Rias_indah27.
“Niat tu baik tapi cara yang tidak betul, apa-apa tanya abah dulu adik…kesian dekat abah penat cari duit,” kata Mohd Syahril.
Bapa tersebut patut dicontohi kerana masih mampu bersabar walaupun anaknya telah melakukan silap yang bukan semua orang mampu kekal tenang sepertinya.
Sumber: Kosmo
