Seorang wanita ditemui telah mati di sebuah apartment di Seri Kembangan, Selangor. Mangsa merupakan warga Bangladesh yang menetap di Malaysia bagi menyambung pelajarannya di sebuah institusi.
Asisten Komisioner A A Anbalagan selaku Ketua Polis Daerah Serdang ada mengatakan bahawa pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan pada pukul 3.06 petang.
Menurut Asisten Komisioner A A Anbalagan, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 34 tahun itu dilihat berada dalam keadaan kemurungan ketika dia menghadiri majlis makan malam bersama rakannya yang lain. Rakannya juga mengatakan bahawa keadaan mangsa pada ketika itu tidak seperti biasa dan dilihat seperti sedang menghadapi masalah.
Rakan mangsa memberitahu bahawa mangsa telah kematian ibunya. Dia hanya mempunyai bapa dan suami yang kini menetap di kampung. Mangsa dikatakan berasa tidak gembira untuk pulang ke Bangladesh atas alasan mempunyai masalah peribadi dan juga masalah keluarga.
Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mayat mangsa yang baru sahaja tamat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam lulusan perniagaan itu ditemui penjaga apartmen tersebut setelah dimaklumkan yang mangsa langsung tidak dapat dihubungi. Disebabkan itu, penjaga apartmen tersebut terus memaklumkan kepada pihak polis.
Siasatan mengenai kematian mangsa masih lagi dijalankan untuk memastikan punca kematian dan motif sebenar kejadian berlaku. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat bagi mengetahui hal yang lebih lanjut.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana masih lagi belum dikenal pasti punca sebenar kejadian berlaku.
Sumber: Berita Harian, HMetro