KUALA LUMPUR- Seorang lelaki ditahan selepas berjaya mencuri 25 helai pakaian dalam wanita dari sebuah kawasan perumahan di Seri Petaling.
Sebelum ditahan, salah seorang daripada penduduk di sekitar situ telah mengesan lelaki berusia 45 tahun itu sedang asyik memerhati sesuatu. Dia kelihatan berada dalam keadaan yang sangat mencurigakan kerana leka memerhati setiap pakaian dalam wanita yang disidai di kawasan perumahan itu.
Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor selaku Ketua Polis Daerah Brickfields berkata, penduduk terbabit kemudian segera menghubungi pihak polis dan memaklumkan mengenai suspek yang berada dalam keadaan yang terlalu mencurigakan.
Selepas disiasat, suspek mengaku telah mencuri sebanyak 25 helai pakaian dalam wanita di tiga buah rumah yang berbeza bagi tujuan ingin melepaskan nafsunya sahaja.
“Pakaian dalam ini telah dijumpai di dalam beg silang dibawa oleh suspek sebelum pihak polis melakukan tangkapan dan merampas barang kes tersebut untuk tindakan yang selanjutnya,” kata Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor kepada pihak media.
Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor juga ada mengatakan bahawa hasil semakan rekod lampau jenayah mendapati suspek juga mempunyai sembilan rekod kesalahan jenayah curi dan dadah berbahaya.
Suspek dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang telah dibacakan.
Suspek kemudiannya telah dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan.
Sumber: Berita Harian
